KATA orang apabila Barisan Nasional (BN) bersin, seluruh negara
kena selsema. Sebagai parti komponen yang besar dan berpengaruh sejak bertahun-tahun dahulu, andaian ini bukan perkara luar
biasa.
Maka tidaklah hairan setiap pergerakan BN diikuti dengan penuh minat bukan
sahaja di kalangan rakyat Malaysia, bahkan di luar negara dan diulas panjang lebar.
Baru-baru ini BN sekali lagi membuktikan kekuatannya terus terpelihara dengan
kemenangan selesa dalam pilihanraya kecil di Batu Talam, Pahang dan Machap, Melaka.
Begitulah ketokohan BN. Selalunya, bukan samada BN menang atau tewas yang menjadi
persoalan, tetapi apakah BN dapat menambah majoritinya..
Kini seluruh negara menanti untuk mengetahui apakah BN dapat mengulangi kejaguhannya
dalam pilihanraya kecil Ijok yang dijadualkan pada 28 April ini.
Dilihat dari sejarah politik kawasan itu, tidaklah susah membuat telahan. Kawasan
itu telah lama dikuasai BN. Mendiang Dato’ K. Sivalingam dari MIC sahaja telah mempertahankan kerusi Dewan Undangan
Negeri Ijok selama tiga penggal.
Itulah keunikan BN. Calon yang mewakili masyarakat minoriti boleh menang dengan
selesa di kawasan dimana kaum lain merupakan kaum majoriti.
“Dalam BN kita menjadi rakan setia yang sedia bekerjasama, satu keadaan
yang wujud di zaman Rasulullah lagi,” kata YB Dato’ Abdul Rahman Palil, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal
Islam, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor.
Ia bukan soal undi Melayu undi masjid, undi India undi kuil.
Yang menjalin kerjasama, katanya, bukan kafir harbi yang zalim dan patut dijadikan
musuh, tetapi kafir zimmi yang tidak mendatangkan ancaman kepada kehidupan orang Islam, bahkan boleh berunding.
Walaupun wakil rakyatnya India, projek untuk orang Islam tetap banyak dilaksanakan.
Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan sahaja, 20 masjid akan dibina di Selangor.
Ia tidak termasuk surau.
Untuk Ijok, sebanyak RM6 juta telah diperuntukkan untuk menaikkan taraf dan membaiki
surau dan masjid dan RM11 juta untuk membina masjid baru di Rantau Panjang dan di Simpang Tiga, antara lain.
“Kongsi kuasa seperti dalam BN ini tidak terdapat di negara lain. Kepentingan
masyarakat berbilang bangsa boleh dijaga oleh wakil daripada mana-mana kaum. Inilah keunikan kita,” kata YB Dato’
Ch’ng Toh Eng, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Multimedia, Alam Sekitar dan Pembangunan Kampung-Kampung Baru Negeri Selangor.
Dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, katanya, anggota daripada agama
lain boleh duduk semeja dan berbincang dengan penuh hormat dan selesa mengenai masjid atau rumah ibadat agama lain.
Dalam BN, pemilihan calon mengikut kuota yang ditetapkan. Kalau tempat itu milik
MIC, ialah akan diberi kepada MIC juga sekiranya berlaku pilihanraya kecil seperti apa yang berlaku di Ijok.
Di kalangan parti pembangkang, konsepnya berbeza.
Dalam pilihanraya sebelum 2004, yang bertanding di Ijok wakil DAP, Tetapi pada
2004 ia diberi kepada Keadilan, tetapi sekarang DAP sudah pun meminta kembali untuk bertanding di kawasan itu.
Siapakah yang akan menjadi pilihan pengundi di Ijok? Jawapannya pada 28 April.
Yang pasti pengundi tidak mudah dikelirukan. Mereka bijak dan tahu yang mana
satu intan dan yang mana kaca.
SELAMAT MENGUNDI.
Sekretariat Akhbar Negeri Selangor
_____________________________________________________________________
Pemuda Disaran Menjadi Pencetus Idea Martabatkan Kedudukan Orang Melayu
Taiping -- Seluruh ahli Pemuda disaran untuk terus mencari idea bagaimana untuk membantu orang Melayu membaiki diri mereka
sendiri selain berusaha gigih untuk meletakkan bangsa Melayu di tempat tinggi di mata dunia.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Azimi Daim berkata rakyat terutama orang Melayu sebenarnya cukup
bertuah berada di dalam sebuah negara yang benar-benar bebas dan tidak menjadi boneka kepada sesetengah kuasa besar.
Ini katanya merupakan satu hikmah dan kehebatan yang memungkinkan rakyat di negara ini memajukan diri mereka di peringkat
antarabangsa.
Jelas beliau lagi masih banyak ruang yang boleh diisi bagi memartabatkan kedudukan bangsa Melayu seperti di bidang pendidikan,
ekonomi, sukan malah kebudayaan.
“Tidak cukup dengan hanya kata-kata semangat jika kita sendiri tiada komitmen untuk berubah”, katanya.
Beliau berkata demikian pada ucaptama bagi mewakili Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
pada Kolokium Mengantarabangsakan Melayu kali kedua bagi Zon Utara di sini, Sabtu malam.
Kolokium tersebut yang berlangsung selama dua hari anjuran Biro Hubungan Antarabangsa & Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)
dengan kerjasama Pemuda UMNO Perak disertai lebih 700 peserta dari seluruh bahagian Pemuda UMNO di empat buah negeri utara
semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Mengungkap karangan Yusuf Al Qardawi dalam kitab “Fiqh Auliya”, Azimi seterusnya menggesa ahli pergerakan Pemuda
UMNO menyusun semula turutan keutamaan dlam hidup.
Tegas beliau untuk maju, orang Melayu mesti mengenalpasti dan memberi pengiktirafan kepada perkara-perkara penting dalam
kehidupan.
“Sebagai contoh, kita mesti beri keutamaan kepada pendidikan dan sebelum hiburan. Kita mesti juga menjamin sokongan
terhadap pendidikan anak-anak serta keluarga mengatasi perbelanjaan keperluan lain”, ujarnya.
Justeru beliau menggesa peserta agar membulatkan tekad dan keazaman ke arah memartabatkan bangsa Melayu kerana Pemuda UMNO
mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk memikul peranan membela kedaulatan agama, bangsa dan tanahair.
Sementara itu, Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa & NGO Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan kolokium
kali kedua setelah menganjurkannya buat pertama kali di Sabah tahun lalu sebagai berjaya.
Menurutnya kolokium ini akan diteruskan bagi memastikan agenda memaju dan memartabatkan orang Melayu untuk berdiri sama
tinggi dengan bangsa lain di dunia ini disemarakkan.
Jelas beliau dalam senario negara di alaf baru ini, orang Melayu berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran baru yang sudah
pasti memerlukan mereka cukup bersedia bagi mengharungi laluan yang penuh berliku.
“Kolokium kali ini cukup bertuah kerana para peserta dapat mendapat pengetahuan, maklumat dan pengalaman menerusi
empat orang pemimpin dan tokoh tempatan bagi menyemarakkan agenda ini”, ujarnya.
Kolokium yang bermula Sabtu telah menampilkan Pengerusi MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Hj Mustapha Kamal Hj Abu Bakar
yang membicarakan topik “Anak Melayu Di Pentas Dunia”, Pengarah Bahagian Amerika/Eropah MATRADE, Md Silmi Abd
Rahman mengenai “Peluang Dan Cabaran Ekonomi Melayu Di Peringkat Antarabangsa”, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,
Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang diwakili Ketua Penerangannnya, Datuk Azimi Daim tentang “Mengantarabangsakan Melayu”
dan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai “Membina Kekuatan Bangsa”. |
|
** Sumber : www.pemudaumno.org |
|