pusi7.jpg

Home
Carta Organisasi
Lagu
Hubungi Kami
Buku Pelawat
Berita
Galeri
Pengumuman/Iklan
Aktiviti / Program
ADUN
Ahli Parlimen

assalammualaikum.gif

wel4.gif

Keris Panca Warisan : Pemimpin Pemuda Pertahan Tindakan Mohon Maaf

Oleh Kazman Kamal

Kuala Lumpur -- Beberapa pemimpin Pemuda UMNO menyifatkan tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memohon maaf secara terbuka berhubung keris Panca Warisan memperlihatkan sikap bertanggungjawab dan tindakan terpuji yang sepatutnya menjadi penutup kepada isu terbabit.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Azimi Daim berkata tindakan tersebut wajar dihormati semua pihak kerana jelas membuktikan dengan rasa rendah hati beliau sentiasa bertanggungjawab terhadap setiap tindakannya dan ahli pergerakan itu sendiri.

Menurut beliau, permohonan maaf itu menunjukkan kesungguhannya membela martabat dan identiti bangsa serta pengorbanan untuk mempertahankan keagungan syiar Islam yang tergambar daripada simbol perjuangan pada Keris Panca Warisan.

"Beliau adalah pemimpin nasional yang bertanggungjawab dan sentiasa peka kepada keresahan dan perasaan kaum lain dan isu-isu yang boleh memberi kesan kepada Parti.

"Walaupun pada asalnya istiadat mengucup dan menjulang keris tidak pernah menjadi isu sensitif di kalangan masyarakat Cina, India dan Bumiputera lain, upacara menjulang Keris Panca Warisan telah dipolemik, dikeliru dan digembar-gembur oleh pembangkang sehingga memberi kesan kepada keresahan sesetengah kaum Cina", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Sementara itu, Exco Pemuda UMNO Malaysia, Yb Johan Abdul Aziz berpendapat inilah masanya untuk ahli pergerakan itu kembali bersatu, tidak kira Pemuda UMNO mahupun komponen Pemuda BN untuk melihat semula kekuatan bagi mengembalikan semula sokongan akar umbi khususnya generasi muda kepada BN.

"Kalaulah benar selama ini isu Keris Panca Warisan turut menjadi satu daripada sebab kemerosotan sokongan kaum bukan Melayu kepada BN, hari ini individu yang bertanggungjawab menjulang dan mengucup keris ini sedia memohon maaf, oleh itu selepas ini tidak ada lagi isu atau sentimen yang boleh membuatkan komponen-komponen Pemuda BN tidak boleh bekerja kuat demi memantapkan parti.

"Bagi saya keris itu melambangkan budaya dan lambang kekuatan orang Melayu. Begitu juga dengan kaum-kaum lain, mereka juga mempunyai budaya dan senjata yang menjadi lambang kekuatan bangsa mereka.

"Oleh itu isu Keris Panca Warisan ini sebenarnya tidak boleh dijadikan isu kerana kita dalam Pemuda ingin meniupkan semangat kepada ahli-ahli kita agar bekerja kuat, demi untuk memantapkan kekuatan UMNO dan BN itu sendiri. Namun, ia telah dipolitikkan oleh individu dan parti-parti tertentu untuk dijadikan modal politik sempit mereka", katanya.

Tambah Johan lagi, semangat yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Hishammuddin merupakan sifat kepimpinan yang harus dicontohi atas sikap bertanggungjawab beliau.

"Hishammuddin adalah lambang dan simbol kepada perpaduan kaum di Malaysia hari ini. Tindakan beliau adalah untuk kekuatan kita bersama, bukannya untuk kepentingan peribadi", ujarnya.

Bagi Kamarulzaman Kamdias pula, tindakan tersebut adalah satu tindakan yang menggambarkan kematangan seseorang pemimpin.

"Kadang-kadang kita terpaksa memohon maaf walaupun tahu kita tidak melakukan perbuatan yang salah. Memohon maaf untuk membendung emosi dan sentimen yang berlaku disebabkan kegagalan setiap kaum memahami atau berkompromi dengan sesuatu warisan kebangsaan yang wujud pada setiap kaum adalah satu tindakan yang matang walaupun berat untuk dilakukan.

"Kita hanya melakukan sesuatu yang membangkit rasa kebangsaan terhadap satu simbol warisan kita turun temurun, tapi jika ia telah menjadi polemik yang tidak berpenghujung, maka memohon maaf mungkin satu dari jalan untuk melenyapkan ketidak rasionalan yang telah terjadi", katanya.

Kata beliau lagi, sudah pasti Datuk Seri Hishammuddin telah memikirkan satu agenda yang lebih besar dari konsep Malaysia Malaysian iaitu untuk perpaduan dan keharmonian sebenar di dalam kemajmukkan rakyat Malaysia.

Seorang lagi Exco Pemuda UMNO, Hj Abdullah Yusof berkata tindakan Ketua Pemuda itu bukan bererti berundur walau seinci pun, tetapi itulah teladan terpuji kerana tidak sedikit pun angkuh mahu pun menuding jari kepada pihak lain.

"Saya lihat tindakan Datuk Seri Hishammuddin sebagai satu tindakan berani dan pekerti mulia demi untuk menjaga keharmonian kaum dan diharap permohonan maaf tersebut akan memberi semula keyakinan orang bukan Melayu bahawa Pemuda sentiasa memperjuangkan perpaduan bersama demi untuk sebuah Negara yang bermaruah.

"Sesungguhnya BN adalah parti yang menjamin keselamatan, keamanan dan kemakmuran kepada semua agama, kaum dan kelompok masyarakat di negara ini", katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Khairuddin Yaakob mengucapkan syabas kepada Datuk Seri Hishammuddin kerana berani membuat permohonan maaf dan sanggup bertanggungjawab yang memperlihatkan beliau adalah pemimpin yang mementingkan parti, bukannya pemimpin yang mementingkan diri sendiri.

"Keris telah dijulang dan dikucup, Pilihan Raya Umum ke12 sudah pun berlalu dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah pun memohon maaf, oleh itu saya minta semua pihak untuk 'tutup buku' dan buat agenda baru bagi memastikan Barisan Nasional terus relevan sepanjang zaman", ujarnya.

Manakala Askahari Abu Nor yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Melaka turut menyokong penuh tindakan Datuk Seri Hishammuddin dan ianya harus menjadi contoh kepada semua demi kebaikan bersama.

"Oleh itu, bukan Pemuda UMNO sahaja yang perlu mengamalkan sikap bertoleransi ini malah rakan-rakan komponen Pemuda BN juga harus mengambil pendekatan yang sama.

"Semangat toleransi dan bersabar harus ada dalam diri setiap ahli dan kompenan Pemuda BN, demi untuk kebaikan semua kaum. Oleh itu, sikap toleransi dan bersabar dalam setiap tindakan dan pendekatan Ketua pemuda UMNO selama ini, menjadi satu kebanggaan kepada kami di Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Melaka", katanya.

 

sumber : pemudaumno.org.my

smile.gif

ahliumno.jpg
umnoonline1.jpg
bm.jpg

 BERSATU - BERSETIA - BERKHIDMAT